KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu, dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak bersubahat dengan tiga pihak termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Goldman Sachs, Lloyd Blankfein untuk menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adalah tidak berasas.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan ‘sindiran’ bahawa beliau bersekongkol dengan Blankfein, bekas ketua Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho untuk merompak wang 1MDB sebagai `tidak masuk akal’.
Sehubungan itu, Najib menegaskan pertemuan dengan Blankfein pada 2009 bukan berselindung di sebalik niat jahat untuk menyeleweng wang 1MDB.
“Pertemuan singkat di New York, Amerika Syarikat pada 2009 itu hanya merupakan kunjungan profesional yang turut melibatkan beberapa eksekutif Goldman Sachs,” ujar beliau.
Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Dalam keterangannya, bekas Perdana Menteri berkata, pertemuan berkenaan berlangsung ketika lawatan dua hari ke Big Apple (New York) bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan di Malaysia.
Ujar Najib, beliau bertemu dengan ramai pemimpin perniagaan terkemuka lain seperti Presiden Forbes Inc., Steve Forbes selain menghadiri majlis makan malam bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Ban Kimoon.
Katanya, dalam kunjungan hormat di Hotel Four Seasons, New York, Lloyd berkata, Goldman Sachs berminat dengan di Asia Tenggara selain mengiktiraf pertumbuhan ekonomi dinamik dan potensi pelaburan rantau ini.
Dalam keterangannya, beliau turut menafikan berkonspirasi dengan Jho Low dan Goldman Sachs ketika meluluskan tawaran bidaan RM10.6 bilion yang mengikat 1MDB untuk pemerolehan Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd.
Najib menjelaskan, kelulusan itu dikeluarkan berdasarkan fakta bahawa Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskan penyerahan tawaran bidaan itu, sehari lebih awal dan beliau hanya menyokong keputusan tersebut.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette