KUALA LUMPUR – Pelakon, Danial Dashuki mengakui dia bertunang dengan bakat baharu, Tiara Suraya selepas mengenali wanita itu di set penggambaran drama pada Ogos lalu.
Danial, 30, berkata, walaupun tempoh perkenalan empat bulan itu singkat, dia dan Tiara, 23, merancang untuk menjalin hubungan cinta serius selepas berkahwin pada Julai tahun depan.
Pelakon Lelaki Terbaik bagi Teater Tradisional di Anugerah Teater Malaysia 2023 itu memberitahu, jodohnya dengan Tiara yang juga pengasas produk kosmetik banyak dibantu oleh ibu bapa masing-masing.
“Kami hanya baru kenal empat bulan selepas berlakon bersama dalam drama bersiri bertajuk Di Hatiku Ada Kamu sejak Ogos lalu namun pada Oktober lalu baru timbul bibit-bibit cinta.
“Sebenarnya kami tidak mengorat antara satu sama lain namun ibu Tiara yang banyak main peranan menyatukan kami kerana memiliki minat sama dalam bisnes.
“Namun saya akui jatuh hati dengan Tiara kerana dia sangat lemah lembut dan berbudi bahasa serta berkawan dengan semua orang walaupun memilik dua ijazah dari luar negara,” katanya yang melangsungkan majlis pertunangan pada 1 Disember lalu di ibu kota.
Untuk rekod, Danial memulakan kerjayanya sebagai model bagi pelbagai jenama ternama di Malaysia.
Perjalanan kerjaya Danial kemudian beralih ke bidang lakonan dan seterusnya mengembangkan bakatnya dalam seni pementasan teater selain menjalankan perniagaan kilang minyak dan gas.
Tiara pula baru pulang dari tanah air setahun lalu selepas menamatkan pengajian di New Zealand dan Australia sebelum menceburi bisnes kosmetik di bawah jenama Venus Rose di samping dunia lakonan.
Mengulas lanjut, Danial dan Tiara merancang untuk melangsungkan majlis pernikahan pada 6 Julai 2025 kerana tarikh tersebut memiliki makna buat mereka.
Dia turut berharap mengharungi alam pertunangan tanpa sebarang masalah walaupun sedar alam itu penuh cabaran.
“Saya akui alam pertunangan banyak dugaan dan berdoa kami dapat harungi bersama hubungan dengan sokongan keluarga.
“Saya pun faham kerana artis yang sedang bercinta sedikit sebanyak pastu ada isu yang akan dikaitkan,” katanya. – MalaysiaGazette