Gambar hiasan

SUBANG – Takut didenda hilang kad pengenalan, seorang ejen insurans sanggup buat laporan polis palsu dengan mengatakan dirinya disamun.

Namun tembelangnya pecah apabila siasatan mendapati kejadian samun sebenarnya tidak berlaku, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Bakar.

Pada mulanya, polis menerima laporan polis daripada pengadu lelaki tempatan berusia 37 tahun itu semalam.

“Menurut pengadu, pada 4 Disember lalu semasa berada di kawasan USJ 10/1, Subang Jaya tiba tiba didatangi suspek lelaki bangsa tidak pasti merampas dompetnya sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu dengan motosikal.

“Mangsa melaporkan kerugian yang dialami adalah dokumen peribadinya iaitu kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Wan Azlan berkata, hasil siasatan terhadap pengadu didapati tidak berlaku dan pengadu sebenarnya membuat laporan polis palsu kerana kad pengenalan telah hilang dan enggan membayar denda.

“Kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 182/395 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberi maklumat palsum” katanya lagi.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan ke atas pengadu di mahkamah.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang laporan polis palsu,” katanya.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum enam bulan penjara atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast