Nizar Najib

KUANTAN – Titah adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah ada jelas dan benar.

Anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepadanya baru -baru ini.

Tegas ADUN Peramu Jaya itu sekiranya dakwaan tersebut palsu, tentu perkara berkenaan telah dinafikan oleh pihak istana sejak awal lagi.

”Saya telah failkan satu afidavit di mana saya telah dimaklumkan oleh Tuanku Sultan sendiri bahawa adendum itu memang wujud, ia bertentang (bercanggah) dengan kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan hearsay la, dan sebagainya. Sebenarnya ia satu kepastian, kebenaran

”Kalau perasan selama ini pihak istana tidak pernah menafikan dokumen itu adalah paslu atau pun dokumen itu tidak pernah wujud. Kalau adendum itu palsu, (pasti) akan dinafikan sekeras-kerasnya, tapi tuanku sendiri yang bagitahu sendiri kepada saya, bukan orang lain.

”Titah tuanku ’Beta’ telah mengeluarkan surat itu dan saya harap semua pihak dapat mematuhi titah tuanku kerana ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main, itu jelas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Nizar, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu sejak sebulan lalu namun katanya Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya dokumen berkenaan difailkan sebagai afidavit dan bukannya ditularkan di media-media sosial.

“Tetapi hari ini kita lihat dokumen tersebut telah ditularkan, saya tak tahu macam mana pihak tertentu boleh dapat dokumen tersebut. Itu kena tanya pihak keselamatan mahkamah tetapi memang benar saya failkan afidavit tersebut dan pejabat Istana (Pahang) sahkan, kalau mereka tak percaya, boleh tanya istana sendiri,” katanya lagi.

Justeru Nizar berharap tiada pihak lain yang menafikan kewujudan titah adendum berkenaan.

Terdahulu pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai dan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Najib telah memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari tahun ini menerusi permohonan yang difailkan April lalu.

Beliau turut memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast