SEPANG – Pemilik kereta sewa haram atau prebet sapu bakal berdepan dengan tindakan pelucutan hak kenderaan, yang mana ia merupakan antara cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memutuskan kitaran pesalah berulang.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Pejabat Peguam Negara (AGC) sejak tiga bulan lalu dalam usaha menangani kegiatan ‘ulat sapu’.
“Bagi mana-mana kenderaan yang telah disita selepas ini akan berdepan dengan tindakan dilucutkan hak dan kita memandang serius untuk membasmi aktiviti ‘ulat’ ini.
“Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakan mereka yang melakukan perkhidmatan ini mampu memperoleh pendapatan antara RM10,000 hingga RM30,000.
“Malah apabila dikenakan tindakan, mereka hanya menyelesaikan denda yang dikenakan kerana jumlah itu kecil bagi mereka dan kembali meneruskan aktiviti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalan sidang media Ops Khas Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan; Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dan Ketua Cawangan JPJ KLIA, S.Srawanan.
Tambah Jazmanie, kebanyakkan pengedali ‘prebet sapu’ menyasarkan warga asing yang tidak mengetahui kadar tambang teksi yang sepatutnya.
“Hasil siasatan mendapati mereka mengenakan bayaran RM100 bagi perjalanan dari KLIA ke Kota Warisan dan RM300 dari KLIA ke Kuala Lumpur.
“Berikutan itu, kami mengharapkan tindakan pelucuthakan kenderaan yang digunakan dalam operasi itu segera dilaksanakan dan mendapat keputusan yang baik dari AGC.
“Kami juga sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau pemilik ataupun pemandu kenderaan yang masih berdegil melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan,” jelasnya.
Tegas beliau, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tanpa kuasa sah, menjalankann aktiviti memujuk atau mendesak dalam menawarkan perkhidmatan tidak sah itu.
Mengulas lanjut Jazmanie berkata, berdasarkan aduan diterima berkait kegiatan ‘ulat’ KLIA, seramai 469 individu telah ditahan dengan jumlah denda dikenakan lebih RM1.66 juta sepanjang tempoh 2022 hingga 3 Disember lalu.
“Pada 2022, kita telah menahan 130 individu dan mengeluarkan denda sebanyak RM488,200 dan 161 individu pula ditahan pada tahun lalu dengan denda dikeluarkan RM621,400, bagi tahun ini pula, seramai 178 tangkapan dilakukan membabitkan denda RM554,900.
“Dalam tempoh 10 hari Ops Ulat KLIA bermula 25 November lalu sehingga Selasa, kami mengesan dan mengambil tindakan tangkapan ke atas 15 ‘ulat’ dan merampas 15 kenderaan membabitkan sedan mewah, kenderaan pelbagai guna dan van.
“Mereka yang ditahan melibatkan 11 warga tempatan, seorang lelaki Pakistan dan tiga lelaki Bangladesh berdasarkan hasil risikan dan anggota kami yang menyamar sebagai penumpang untuk menahan individu melakukan kegiatan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette