KUALA LUMPUR – Karyawan Malaysia (Karyawan) meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini dengan menubuhkan Akademi Seni OKU.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya dipilih oleh Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D Jacob yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk membantu menyertai akademi itu untuk membangun modal insan OKU yang memiliki kebolehan dalam bidang kesenian.
”Kami amat mengalu-alukan kepercayaan Senator Isaiah Jacob terhadap usaha yang kami telah lakukan untuk membantu golongan OKU selama ini.
”Kami akan terus berusaha untuk menentukan Akademi Seni OKU itu dapat ditubuhkan dan memainkan peranan penting untuk membangun modal insan OKU yang ada kebolehan dalam bidang kesenian” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pemilihan Karyawan diumumkan oleh Isaiah ketika Majlis Perasmian OKU Fest atau Festival Seni Insan Istimewa yang membawa tema ‘My Ability Is Stronger Than My Disability’ di Panggung Bandaraya baru-baru ini.
Sementara itu, Isaiah berkata, akademi itu akan memberi tumpuan khusus kepada golongan OKU yang ingin menceburi bidang seni sebagai bidang kerjaya pilihan mereka.
“Saya telah memilih Karyawan untuk diberi tanggungjawab ini kerana saya melihat mereka begitu komited membantu orang OKU yang berbakat dalam bidang seni.
”Mereka telah dua kali anjurkan Fesival Seni Khas untuk golongan OKU dengan jayanya dan saya difahamkan bahawa Karyawan sentiasa membantu OKU yang berkecimpung dalam bidang seni, seperti buskers, seniman jalanan dan pemuzik” kata beliau.
Dalam pada itu, turut terbabit dalam OKU Fest adalah Altimet seorang artis yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lembah Jaya.
Altimet yang menghadapi disleksia, berkongsi bagaimana beliau sudah mengatasi segala cabaran yang dihadapinya dan akhirnya dapat mencapai kejayaan bukan sahaja sebagai seorang artis, malah seorang ahli politik yang mendapat kepercayaan pengundi Lembah Jaya.
Sebelum ini, OKU Fest pernah diadakan pada Oktober 2022 dengan pelbagai program dan aktiviti menarik diadakan khusus buat golongan istimewa itu.
Selain nyanyian turut diadakan adalah pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme, persembahan OKU Jam, forum dan pelbagai pameran.
Festival anjuran Karyawan mendapat sokongan penuh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), serta rakan strategik seperti Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan Dyslexia Genius. – MalaysiaGazette