Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Suami, Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar hari ini didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Vivy atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini.

“Faham, tidak bersalah (mengaku tidak bersalah),” kata kedua-dua tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama suaminya, mengenakan kot berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet) ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah fesyen e-dagang terkemuka itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berkata, kesalahan itu tidak boleh dijamin namun kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

Susulan itu, pihak pendakwaan mencadangkan tawaran jaminan antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Ini bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah tersebut sangat munasabah dengan mengambil kira keseriusan kes ini.

“Kami berhak meminta syarat tambahan dalam kes ini iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

“Selain itu, pasport diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan ini amat serius dan ada flight risk (melarikan diri) dan mereka boleh memohon bagi mendapatkan pasport sementara pada bila-bila masa dengan alasan munasabah.

“Kedua-dua tertuduh juga dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi yang terlibat dalam kes ini kerana kebanyakan saksi adalah dalam FashionValet,” katanya yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPR.

Susulan itu, Hakim Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan itu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Januari depan,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB dalam FashionValet.

Pada 4 November lalu, SPRM telah menyerbu Kementerian Kewangan (MOF), pejabat Khazanah dan PNB serta ibu pejabat FashionValet di Bangsar untuk membantu siasatan kes terbabit.

Pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here