KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform seperti Meta, Telegram serta TikTok telah menangani sebanyak 2,444 laman sesawang dan kandungan berunsur pelacuran sejak Januari 2022.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia membabitkan sekatan ke atas 279 laman sesawang dan tindakan membawa turun 2,165 kandungan berunsur pelacuran dari pelbagai platform media sosial.
Beliau berkata, penurunan kandungan yang tertinggi membabitkan platform Facebook dengan 46.84 peratus diikuti TikTok (30.44 peratus) dan Telegram (21.20 peratus).
“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang dilakukan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang, berdasarkan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima MCMC.
“Namun keputusan muktamad penurunan kandungan adalah tertakluk kepada pertimbangan penyedia perkhidmatan berdasarkan penilaian standard komuniti yang telah ditetapkan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai perancangan kerajaan untuk membanteras budaya dark side dan tindakan akan diambil terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti di platform X serta Telegram.
Fahmi berkata, penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diambil MCMC adalah tindakan sokongan kepada undang-undang sedia ada seperti Seksyen 372A, 372B dan 373 Kanun Keseksaan (Akta 574) bawah bidang kuasa polis bagi menangani aktiviti pelacuran dalam talian atau dark side.
“MCMC memberi bantuan teknikal membabitkan pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan serta membantu pihak berkuasa mengumpulkan bukti yang diperlukan.
“Selain itu, antara inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi memastikan penyedia perkhidmatan media sosial lebih agresif mengenal pasti trend aktiviti jenayah siber termasuk pelacuran, ialah melalui keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan berkuat kuasa Januari depan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Bobbey sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk meletak had umur terhadap pengguna media sosial pula, Fahmi berkata, kerajaan akan memastikan penyedia platform memberi penjelasan serta penegasan dalam aspek itu selaras pelaksanaan pelesenan kelak.
“Penyedia platform ini ada guideline (garis panduan) masing-masing, hampir semua kecuali WhatsApp letak syarat umur minimum 13 tahun. Jadi pada peringkat kerajaan, kita mula dengan proses pelesenan nanti untuk memastikan platform ini, apakah cara mereka sahkan umur pengguna itu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan aspek kesedaran awam dengan menasihati golongan ibu bapa untuk tidak menormalisasikan anak-anak bawah usia 13 tahun untuk membuka atau memiliki akaun media sosial. – MalaysiaGazette