KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengkaji mekanisme terbaik pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap pekerja asing.
Kementerian Kewangan berkata, berkata sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh sedang dilaksanakan demi memastikan dasar dibuat adalah holistik dengan mengambil kira semua pandangan dan input daripada pihak yang terlibat.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja adalah selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO) bermaksud hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara
“Langkah ini juga dilihat dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global melalui dorongan peralihan perniagaan ke arah automasi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga bukan warganegara,” kata kementerian menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara, hari ini.
Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong berhubung keputusan caruman mandatori KWSP ke atas pekerja asing yang bakal membebankan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata langkah tersebut seiring usaha KWSP dalam memastikan semua pekerja di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan untuk turut mempunyai simpanan persaraan bagi menangani risiko ketidakcukupan simpanan persaraan pada usia tua serta akses kepada perlindungan sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan bahawa kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP dan cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.
Anwar berkata kerajaan komited dalam memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa. – MalaysiaGazette