JOHOR BAHRU – Mubadala Investment Company dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat melabur di Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafi Ghazi berkata, minat tersebut dinyatakan pada pertemuan beliau dengan wakil-wakil syarikat berkenaan di Abu Dhabi semalam.
“Menerusi perjumpaan ini, saya telah berkongsi peluang pelaburan utama di negeri ini JS-SEZ bagi menyokong agenda pembangunan Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi yang berdaya saing peringkat antarabangsa.
“Perjumpaan bersama syarikat-syarikat ini penting khususnya membincangkan potensi kerjasama yang strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan teknologi buatan (AI) di mana Johor berpotensi menerima pelaburan besar dalam pembangunan industri masa depan.
“Syukur Alhamdulillah, Mubadala dan Masdar telah menaruh keyakinan dan persediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Katanya, Mubadala merupakan sebuah entiti pelaburan milik kerajaan Abu Dhabi.
Syarikat itu juga melabur sebanyak USD350 juta dalam Princeton Digital Group, sebuah pusat data terkemuka di Asia, yang turut membangunkan pusat data AI mereka di Sedenak di sini.
Masdar pula, katanya, juga dikenali sebagai Abu Dhabi Future Energy Company adalah sebuah syarikat tenaga yang boleh diperbaharui dan beroperasi sebagai anak syarikat Mubadala Investment Company
“Semoga segala usaha dan pertemuan ini mampu membuahkan hasil dan memberi limpahan ekonomi buat negeri dan Bangsa Johor, bagi merealisasikan hasrat negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. Insya-Allah,” ujarnya.- MalaysiaGazette