Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perhimpunan Warga di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Seseorang yang faham akan agama dan bergelar ilmuan tidak lari daripada bersikap sombong dan angkuh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, martabat sebagai para ilmuan Islam tidak membolehkan seseorang itu menghina orang lain khususnya orang miskin.

“Sikap angkuh dan sombong itu kadang-kadang bukan sahaja di kalangan tidak tahu agama tidak semestinya, orang yang faham agama yang sering bincang tentang Islam, akidah, solat dan sunat tetapi bila timbul keadaan begitu dia boleh menghina.

“Saya lihat saya rasa aneh dan luar biasa, tetapi bagi saya pengajarannya menginsafkan, saya kata saya kena sebut ini pagi ini (himpunan di Kementerian Kewangan),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar berkata demikian mengulas tindakan seorang pendakwah yang mencetuskan kontroversi berhubung dakwaan mengeluarkan ucapan kesat dan menghina peniaga teh yang secara kebetulan menjual air minumannya itu semasa pendakwah berkenaan menyertai satu program.

Semalam, tular sebuah video dari seberang mengenai seorang pendakwah yang mencetuskan kontroversi berhubung dakwaan mengeluarkan ucapan kesat dan hinaan kepada seorang peniaga teh tampil memohon maaf.

Pendakwaah yang dikenali sebagai Miftah Maulana Habiburrahman menjelaskan bahawa beliau hanya mahu ‘bergurau’ ketika mengungkapkan perkataan itu kerana sudah terbiasa bersikap sedemikian.

“Saya Maulana Habiburrahman mahu menjelaskan tentang video yang tular hari ini, yang pertama dengan kerendahan hati, saya meminta maaf atas kekhilafan saya,” katanya menerusi satu hantaran

Menurut Anwar, video yang dikirimkan oleh rakannya di Indonesia memberi kesan terhadap dirinya serta memberikan perspektif berbeza terhadap penularan video berkenaan.

“Ada yang menonton dan saya teman-teman di Indonesia kirim.

“Dia (video) jadi viral dan penghinaan kepada orang yang jual teh yang mana di antara paling miskin, mereka ini pendakwah dengan ketawa.

“Ia mendapat perhatian menyeluruh daripada rakyat sehingga Prabowo Subianto (Presiden Indonesia) memberikan kenyataan yang amat keras dan akhirnya kiai itu berkunjung ke daerah penjaja itu dan memohon maaf,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast