KLUANG – Bapa kepada suspek yang membunuh ibu kandungnya di Felda Ayer Hitam di sini semalam mendakwa anaknya itu mempunyai masalah mental.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Masrudin, 49, menjelaskan, anak ketiga daripada lima beradik itu sebenarnya sedang melalui rawatan mental di hospital sejak enam bulan lalu.
“Saya percaya itu bukan dia (anak saya). Kalau ikut saya, itu bukan tindakan dan kawalan anak saya.
“Anak saya sudah menerima rawatan mental dan dibekalkan ubat oleh pihak hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Ayer Hitam malam tadi.
Pada masa sama dia meminta semua semua agar mendoakan anaknya terus sihat.
“Saya rayu jika boleh diringankan hukuman atau kalau boleh dilepaskan. Saya memang akan hantar dia untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Masrudin kesal dengan sebaran maklumat dalam media sosial tanpa menunggu siasatan polis selesai dilakukan.
Ditanya mengenai urusan pengkebumian isterinya, Masrudin memberitahu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ayer Hitam selepas proses bedah siasat selesai.
Jelasnya, proses tersebut akan dilakukan di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche Besar Hajah Kalsom di sini hari ini.
Suspek yang berusia 20-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dan dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Disember ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, suspek dipercayai menikam ibunya yang berusia 50-an sehingga mati dengan sebilah pisau.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, punca siasatan kejadian tersebut masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette