KLUANG – Seorang pemuda direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menikam ibunya sehingga maut dalam kejadian di Felda Ayer Hitam, di sini, semalam.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno, di sini, pagi ini terhadap suspek berusia 20-an itu bermula hari ini sehingga 11 Disember depan.
Terdahulu suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, dengan dikawal angggota polis pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan akhbar memberitahu, suspek ditahan di Felda Ayer Hitam pada pukul 11 pagi semalam.
Penahanan itu susulan laporan diterima pihaknya mengenai seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian badan mangsa.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah dihantar ke Hospital Besar Enche Hajah Besar Kalsom di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette