KUANTAN – Terdapat tujuh pengeluaran emas aktif di Pahang dengan jumlah pengeluaran sebanyak 720.8 kilogram (kg) yang benilai RM155.6 juta direkodkan pada tahun 2023, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Pahang Gold Sdn Bhd (Pahang Gold) berjaya mengutip hasil royalti jualan emas sebanyak RM5,498,567.00 pada tahun tersebut.
“Setakat hari ini, sudah ada beberapa koleksi yang dikeluarkan Pahang Gold, antaranya Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series yang divariasikan daripada berat emas 0.25 gram sehingga 100 gram dalam bentuk jongkong emas dan syiling emas,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang mengenai hala tuju produk jenama Pahang Gold ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 DUN Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau turut membawa koleksi enam unit jongkong dan syiling emas produk terbabit ke sesi DUN hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai turut memberitahu jumlah kutipan royalti bagi tahun ini pula merekodkan peningkatan sekali ganda kepada RM10,190,959.00 bagi tempoh Januari sehingga November berbanding tahun lepasĀ
Menjawab soalan tambahan ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung mekanisme kawalan penjualan dan pengeluaran emas pula, katanya kerajaan negeri telah memperkenal Skim Perlombongan Kecil bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan.
“Sebelum ditubuhkan Skim Perlombongan Kecil, terutama di Kechau, Lipis, keadaan ketika itu seperti ‘free for all’. Walaupun tanah itu tanah mereka, tapi mineral dalam tanah tersebut masih hak kerajaan negeri dan tidak boleh dijual sesuka hati.
“Menerusi Skim Perlombongan Kecil ini, kita lantik seorang sahaja yang boleh membeli emas tersebut dan orang yang membeli emas ini yang adalah daripada kalangan yang dikenali, mempunyai kedudukan kewangan, track record dan rangkaian yang baik,” ulasnya.
Menurutnya, tawaran harga pembelian pula dilakukan mengikut harga pasaran yang memberi keuntungan bagi kedua-dua belah pihak diantara kerajaan dan pelombong kecil.
Sebelum itu, Wan Rosdy memberitahu anggaran sumber deposit emas di negeri Pahang oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah 63.44 tan metrik dengan anggaran nilai RM 10.8 billion. – MalaysiaGazette