KUALA LUMPUR – Perbezaan pendapat terutamanya dalam konteks agama boleh membawa kepada perpecahan umat Islam sekiranya jika tidak diuruskan dengan baik.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Fatimah Syarha Mohd Noordin menekankan pentingnya prinsip kesederhaan dalam setiap aspek kehidupan.
“Kesederhanaan merupakan asas untuk memastikan kita bersikap adil, ia adalah satu jalan tengah yang dapat memberi hak sama rata kepada semua pihak tanpa ekstremisme.
“Dengan itu, kita dapat menjadi umat Islam yang seimbang antara duniawi dan akhirat, moden dan tradisional,” katanya dalam Sidang Pleno: Bicara Madani dalam Majlis Anugerah Pendakwah Negara (APN) 2024 di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot pula menambah, tujuan dakwah disampaikan adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan agama Islam.
“Oleh itu, para ulama janganlah tergopoh-gopoh dalam berdakwah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat.
“Jika ada kekeliruan, kembali kepada sumber benar iaitu al-Quran, sunnah, ijma dan ulama. Penting untuk kita urusukan perbezaan pendapat dengan disiplin dan bijaksana,” ujarnya.
APN 2024 diadakan bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan para pendakwah dalam melestarikan gerakan dakwah di negara ini.
Ia juga merupakan penganjuran kali kedua selepas pertama kali diadakan pada tahun 2015.
Majlis yang sama turut menghargai seramai 13 orang pendakwah daripada pelbagai latar belakang, agensi kerajaan dan rakan badan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette