KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM392 bilion diperlukan untuk melaksanakan 365 projek tebatan banjir berdasarkan hasil kajian, risiko banjir mengikut kawasan bagi tempoh 2023 sehingga 2100.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sama ada kerajaan berpuas hati ataupun tidak, pengurusan banjir memerlukan kerjasama secara bersepadu khasnya dalam mengurus sistem perparitan dan sungai yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi.
Katanya, sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi banjir, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kajian mengikut lembangan sungai utama sebagai pendekatan bukan struktur, bertujuan untuk menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
“Sekiranya kerajaan mahu membelanjakan keseluruhan peruntukan, satu tahun kementerian tak ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jadi, disebabkan itu kementerian berpuas hati dengan projek yang telah dilaksanakan, misalnya projek terowong SMART di Kuala Lumpur yang telah disiapkan semenjak tahun 2007 dengan membelanjakan sebanyak RM1.97 bilion sepanjang 17 tahun beroperasi.
“Terowong ini telah diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan berjaya mengurangkan risiko banjir di pusat bandar,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi pertanyaan menteri, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan berkaitan yang diusahakan sejak dari dahulu.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, berdasarkan kajian oleh JPS pada 2012, jumlah kerugian yang berjaya diselamatkan untuk jumlah pengaktifan lencongan itu berjumlah lebih daripada RM4.3 bilion.
Jelas beliau, rancangan tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, Daerah Klang, telah dilaksanakan dengan kos RM140 juta.
“Berdasarkan skop, projek ini akan mengurangkan risiko banjir melibatkan kawasan seluas 4,195.7 hektar, meliputi Jalan Batu 3, Shah Alam.
“Seramai 192,279 orang penduduk akan mendapat manfaat,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai langkah-langkah yang sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara terhadap musibah banjir, Fadillah menjelaskan, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengatur tiga langkah iaitu Pra Banjir, Persediaan Tindak Balas Bencana dan Penyelarasan Pasca Banjir.
Katanya, melalui Pra Banjir, NADMA melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus seluruh Negara, Program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM), Kerja-kerja penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur, Pengaktifan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), penempatan 737 pam bergerak seluruh Negara dan menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web.
Tambah beliau, PETRA melalui JPS juga telah mengemaskini dan mengenalpasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.
“Tindakan-tindakan awal telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, retrofitting, dan sebagainya serta sistem amaran awal. dengan memastikan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik.
“Sebagai Persediaan Tindak Balas Bencana banjir pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) diminta untuk melaksanakan koordinasi persediaan awal melalui mesyuarat, mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu, persediaan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), pelaksanaan aktiviti Communication, Education and Public Awareness (CEPA) dan sebagainya,” ujarnya.
Manakala, bagi Penyelarasan Pasca Banjir, ia meliputi bantuan awal, pembersihan dan bantuan-bantuan pasca bencana kepada mangsa termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur.
“Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara JPBN dan JPBD bersama NGO dan sukarelawan berkaitan penyelarasan bantuan,” kata beliau. – MalaysiaGazette