Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM131, 687.90 hasil serbuan dalam satu operasi di sekitar kawasan Setia Tropika, Kempas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek merupakan seorang warga tempatan berusia 28 tahun.

“Menerusi serbuan tersebut polis merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 1,012.83 gram.

“Serbuk ekastasi berkenaan dianggarkan mampu digunakan oleh lebih 500 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.

Katanya, Mahkamah Majistret di sini membenarkan reman ke atas suspek selama lima hari mulai semalam hingga Ahad ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah agar menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast