KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja Batu Puteh mencadangkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan satu laporan polis perlu dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.
Dalam laporan setebal 238 muka surat yang didedahkan kepada umum, Suruhanjaya merumuskan, siasatan terhadap bekas perdana menteri itu akan dibuat di bawah seksyen 415(b) Kanun Keseksaan .
Jika sabit kesalahan, Dr Mahathir boleh dihukum di bawah seksyen 417 dan 418 di kanun yang sama.
Untuk membolehkan proses tersebut dilaksanakan, Suruhanjaya mencadangkan satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha badan bebas itu bagi membolehkan siasatan dimulakan.
Dalam pendahuluan rumusan, Suruhanjaya merujuk semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague yang tidak dicapai sebulat suara iaitu 12-4 memberi ruang kepada Malaysia untuk menangkis dakwaan Singapura menerusi penemuan tiga fakta dokumen baharu.
Dokumen-dokumen tersebut tidak dapat dikemukakan semasa perbicaraan pada 6 hingga 23 November 2007.
“Penemuan tiga fakta (dokumen baharu) tersebut telah dijadikan asas oleh Malaysia untuk memfailkan Permohonan Semakan pada 2 Februari 2017 terhadap keputusan ICJ bertarikh 23 Mei 2008,” menurut Suruhanjaya.
Namun persoalan sama ada ketiga-tiga keterangan baharu tersebut boleh meyakinkan ICJ untuk mempertimbangkan semula keputusannya kini telah menjadi akademik.
Ini kerana, setelah hampir dua tahun penyelidikan dan persediaan dibuat, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk tidak meneruska Permohonan Semakan tersebut tiga minggu sebelum perbicaraannya bermula.
Kerajaan Malaysia, menurut Suruhanjaya, pada masa yang sama juga telah memilih untuk tidak meneruskan Permohonan Tafsiran yang telah difailkan pada 30 Jun 2017.
“Dengan keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran, maka keputusan ICJ yang telah memindah hak kedaulatan Batu Puteh daripada Kesultanan Johor kepada Singapura kini menjadi muktamad dan tidak boleh dipertikaikan lagi,” kata Suruhanjaya.
Suruhanjaya dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dengan lain-lain keanggotaan terdiri daripada Timbalan Pengerusi, Tan Sri Zainun Ali; lima pesuruhjaya yang terdiri daripada Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Prof. Datin Dr Faridah Jalil,; Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; dan Dickson Dolah.
Sementara itu, Zamrin Misman bertindak sebagai Setiausaha Suruhanjaya.
Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette