KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengulangi gesaan agar Datuk Seri Bung Moktar Radin berundur daripada jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes rasuahnya.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebagai bekas aktivitis dan barisan hadapan UMNO yang terlibat secara aktif membantu parti itu di Sabah sejak sekian lama, nasihat ini dibuat demi kebaikan parti Melayu itu di Sabah.
“Bung sepatutnya menggunakan masa berbaki untuk menyelesaikan kes rasuah yang dihadapi beliau dan menyerahkan pengurusan gerak kerja UMNO di Sabah kepada timbalannya.
“Oleh kerana Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah dijangka berlaku tahun hadapan, ahli UMNO Sabah di peringkat akar umbi amat memerlukan kepimpinan yang mempunyai lebih masa bersama mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025 ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Sementara itu, Zulkarnain berkata, kesemua sayap UMNO di Sabah sepatutnya senada dengan gesaan G57 yang mendesak Bung meletakkan jawatan kerana moral dan integritinya tercalar susulan kes terbabit.
“Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Sabah sepatutnya mendesak agar Bung meletakkan jawatan kerana isu rasuah yang dihadapi oleh beliau sudah tidak melayakkan beliau memimpin UMNO Sabah,” katanya.
Katanya lagi, sayap-sayap UMNO Sabah juga diingatkan tidak keliru antara kes rasuah yang dihadapi Bung dengan desakan supaya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melepaskan jawatan hanya berdasarkan video lapan wakil rakyatnya.
“UMNO Sabah sudah tidak mempunyai ‘locus standi’ berbicara soal rasuah sedangkan pengerusinya sendiri berhadap dengan kes rasuah dan akan disambung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, tahun depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette