Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah (tengah) dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Operasi Redback ke-19 2024 di Bukit Tinggi pada KHAMIS 5 DISEMBER 2024.

KLANG – Sektor perikanan antara ‘lubuk’ bagi aktiviti mengeksploitasi pekerja asing di negara ini, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah berkata, antara pekerja asing yang dikesan menjadi mangsa eksploitasi adalah pekerja yang dibawa dari Bangladesh dan Myanmar.

Katanya, pekerja warga asing ini digajikan tanpa permit sah oleh majikan dalam perikanan untuk menangkap ikan di laut.

“Bagaimanapun, kegiatan itu agak sukar untuk dikesan oleh penguatkuasa berikutan pekerja-pekerja asing itu telah diugut oleh majikan mereka.

“Selalunya, mereka akan ditakutkan majikan. Kalau kita minta bayaran gaji, dia (majikan) boleh siapkan (dokumen slip gaji itu) walaupun pada hakikatnya mereka tidak dibayar gaji.

“Modus operandi untuk sektor maritim agak sukar. Bila kita dapat bot nelayan apa dokumen tiada, selalu kita akan pergi ke kes Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Operasi Redback ke-19 antara Pasukan Sempadan Australia (ABF) dan APMM di Bukit Tinggi di sini.

Dalam perkara sama, beliau turut menambah bahawa siasatan lebih lanjut harus dilakukan memandangkan isu ATIPSOM di peringkat Maritim Malaysia adalah sesuatu yang sangat kompleks.

“Nak kata tengok kecederaan (didapati) tiada. Kalau bandingkan dengan pelacur mudah dikesan dengan ketiadaan pasport atau mereka sendiri buat laporan.

“Lagipun, apa sahaja tangkapan Maritim melibatkan pendatang asing (termasuk nelayan asing) selalunya bukan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebaliknya membabitkan Akta ATIPSOM.

“Bila kita sabitkan mereka di bawah ATIPSOM, kita dapat reman lebih lama untuk menyiasat kes tersebut,” ujar beliau lagi.

Mohd. Zawawi turut menegaskan bahawa pihak APMM dalam tempoh empat tahun yang lepas iaitu bermula 2021 hingga 2024 telah melakukan 29 tangkapan di bawah ATIPSOM.

Jelasnya lagi, mengikut pecahan diperolehi APMM pada tahun 2021 sebanyak lima kes tangkapan dibuat disusuli 13 kes pada 2022, empat kes pada 2023 dan akhirnya tujuh kes direkodkan untuk 2024 sehingga November lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here