Foto KPDN Pahang

KUANTAN – Seorang individu ditahan bersama dengan lorinya yang disyaki digunakan dalam urusniaga menjual gas petrolium cecair (LPG) kepada sebuah kilang di Gambang, dekat sini, semalam.

Pengarah kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan dilaksanakan susulan risikan pasukan anggota penguatkuasa selama sebulan ke atas lori satu tan itu yang kerap membekalkan gas LPG dalam kuantiti yang banyak kepada kilang tersebut.

“Hasil serbuan yang dibuat mendapati sebanyak 32 tong LPG berkapasiti 50 kilogram (kg) setiap satu ada di dalam lori yang ditahan semasa ingin menjalankan urusniaga menjual barang kawalan berjadual tersebut dan pemilik lori gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan LPG tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Jezlily, pihaknya menyita kesemua tong gas terbabit, lori serta dokumen-dokumen perniagaan lain dengan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM26,944.

Tambah beliau, kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan urusniaga barang kawalan atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast