KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menggerakkan Smart Support Team (SST) yang terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling berpengalaman serta terlatih untuk menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, SST KPM berperanan memberi bantuan sokongan psikososial dan emosi khususnya kepada murid di pusat penempatan sementara semasa berlaku bencana alam.
Katanya, turut mendapat perhatian SST KPM adalah tugas meredakan tekanan (stress) dan trauma (igauan buruk) yang dihadapi mangsa bencana.
“SST KPM juga berperanan menenangkan emosi murid melalui pelbagai yang terancang di pusat penempatan sementara,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru – Roslan Hashim pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Fadhlina, KPM memaksimumkan kemahiran dan tenaga pakar Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk kesejahteraan kanak-kanak.
Katanya, aktiviti yang dicadangkan berdasarkan bidang kepakaran anggota SST-MoE (GBKSM) sedia ada adalah:
1. Kaunseling/ bimbingan individu
2. Kaunseling/ bimbingan kelompok
3. Terapi Seni (Art Therapy)
4. Permainan
5. Bercerita
6. Tayangan Video
7. Motivasi
Beliau berkata, SST memberi sokongan psikososial dan emosi manakala Academic Support Team (AST)membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.
Katanya, jumlah keseluruhan jurulatih SST dan AST yang diturunkan untuk memberi bantuan adalah seramai 1,580 orang.
Kaunselor yang membantu di PPS dan calon di asrama sepanjang tempoh peperiksaan SPM pula seramai 110 orang masing-masing di Kelantan dan Kedah manakala di Terengganu 90 orang, katanya. – MalaysiaGazette