Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Yayasan Didik Negara di bawah penyeliaan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh untuk membantu pelajar-pelajar yang terkesan akibat bencana banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, yayasan berkenaan komited dalam memastikan bantuan dan keperluan pelajar yang terjejas akibat bencana alam itu disediakan.

“Sebenarnya bantuan itu telahpun kita gerakkan berdasarkan kepada permintaan dan juga unjuran yang diterima mengenai kesusahan yang dihadapi berkenaan anak-anak (pelajar-pelajar) ini.

“Untuk makluman, Yayasan Didik Negara komited untuk memastikan dan menyalurkan bantuan keperluan murid kepada mereka yang terkesan akibat banjir.

“Dalam konteks ini Yayasan Didik Negara telahpun memastikan bahawa alat tulis dan barangan sekolah anak-anak ini akan dilengkapkan khusus yang akan mengambil peperiksaan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sama ada kementerian ada menyediakan peruntukan khas kepada pelajar-pelajar serta bantuan untuk memasuki sesi persekolahan akan datang khusus kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM akan melihat keperluan untuk menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas banjir yang akan melalui pembukaan sekolah nanti menerusi bantuan kecemasan Kewangan Amanah Pelajar Miskin.

Terdahulu, menjawab soalan asal Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kementerian menyatakan berapakah bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan murid, guru dan warga sekolah serta aset di bawah kelolaan KPM.

Katanya, KPM memantau dengan rapat situasi dan operasi pengurusan banjir yang melibatkan institusi pendidikan KPM.

“Bagi tujuan tersebut KPM telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir seawal bulan November 2024.

“Bilik gerakan ini akan menyelaras maklumat mengenai sekolah yang terlibat banjir, sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan bilangan warga KPM termasuk murid di PPS.

“Data-data tersebut direkodkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ke Dashboard Pelaporan Banjir KPM,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast