KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, 6 September lepas.
Muhammed Yusoff Rawther, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan kes.
Terdahulu peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff memohon mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan kes berikutan anak guamnya mempunyai satu lagi kes di bawah Akta Senjata di Mahkamah Majistret pada tarikh sama (13 Dis).
Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Pada 12 November lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes dadah dihadapi Muhammed Yusoff ke Mahkamah Tinggi.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September lepas, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, tarikh sama (6 Sept).
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama