KLUANG – Sebelas jalan utama di sekitar daerah ini akan ditutup secara berperingkat esok bagi memberi laluan program Kluang Road Race (KRR) 3.0 anjuran Majlis Perbandaran Kluang (MPK).
Yang DiPertua MPK, Mohd Fahmy Yahya berkata, Program KRR 3.0 pada tahun ini akan melibatkan penyertaan seramai 281 pelumba amatur terdiri daripada peserta dalam dan luar negara.
“Sehubungan itu, terdapat 11 lokasi laluan sepanjang 136 kilometer akan ditutup secara berperingkat mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Penutupan bermula dari Dataran Tasik menuju ke Jalan Haji Manan seterusnya ke Pekan Paloh melalui Kampung Melayu Nyior dan Chamek.
“Dari Pekan Paloh peserta perlumbaan akan melalui Jalan Paloh menuju ke Batu Empat seterusnya melalui Penjara Kluang untuk ke persimpangan Felda Kahang Timur sebelum keluar di Jalan Padang Tembak menuju ke Felda Ulu Belitong.
“Di Felda Ulu Belitong mereka akan melalui jalan pintas ke Pekan Renggam seterusnya berpatah balik melalui Jalan Teck Wah Heng ke Jalan Mengkibol sebelum perlumbaan ditamatkan di Dataran Tasik, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, Polis Daerah Kluang akan menempatkan anggota bagi melaksanakan penugasan -penugasan bagi mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara dwi tahunan ini dapat berlangsung dengan jayanya.
Ujarnya, Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan anggota-anggota yang bertugas di sepanjang lokasi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi pihak MPK menerusi talian 07-7771461,” katanya.- MalaysiaGazette