PASIR MAS – Seramai enam individu dari sebuah keluarga di Kampung Maghribi dekat sini, berdepan pengalaman memeritkan selepas terpaksa tidur di kandang kambing dan di dalam kereta selama sembilan hari selepas terperangkap dalam bencana banjir.
Mereka termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun tidak dapat keluar selepas terperangkap berikutan semua laluan ditenggelami air setinggi paras dada.
Lebih malang, mereka juga gagal menghubungi pihak luar untuk mendapatkan bantuan berikutan telefon bimbit tidak lagi berfungsi selepas bekalan elektrik terputus sejak beberapa hari sebelumnya.
Menceritakan kejadian itu, salah seorang mangsa, Hisrin Najihah Mohd. Rodi berkata, dia bersama suami dan anak mereka terpaksa tidur di dalam kenderaan Pajero selama enam hari dan berteduh di kandang kambing selama tiga hari.
Selain mereka, katanya, ibu dan bapa mentuanya turut tidur di dalam kereta jenis Proton Waja manakala kakak iparnya tidur di dalam kereta jenis Proton Viva selama terperangkap akibat banjir.
Katanya, mereka hanya dapat pulang ke rumah masing-masing awal pagi ini selepas banjir semakin surut meskipun rumah mereka masih ditenggelami banjir termenung.
“Kami sememangnya mahu keluar dan berpindah ke PPS ketika permulaan banjir tetapi air naik terlalu cepat dan deras menyebabkan kami terperangkap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Hisrin Najihah, sepanjang sembilan hari terperangkap, kesemua mereka hanya bertahan dengan memakan mi segera serta ikan pekasam yang sempat dibawa ketika menyelamatkan diri.
Sepanjang tempoh itu juga, katanya, mereka hanya menggunakan air banjir untuk membersihkan diri.
Tambah Hisrin Najihah, meskipun mereka kini boleh menarik nafas lega kerana dapat pulang ke rumah, namun dugaan lebih berat menanti apabila keseluruhan perkakasan dan peralatan di rumahnya musnah akibat banjir.
Lebih malang, jelasnya, kawasan kampungnya yang mempunyai kira-kira tujuh buah rumah penduduk terletak agak pendalaman menyebabkan mereka sering terlepas sebarang bantuan.
“Sebab itu kami sekeluarga amat berharap mana-mana pihak sama ada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menghulurkan bantuan dan meringankan beban kami untuk memulakan semula kehidupan selepas harta benda kami musnah akibat bencana banjir ini,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke Bank Islam di nombor akaun: 03027029672038 (Hisrin Najihah Mohd. Rodi).
Sementara itu, MalaysiaGazette cuba memasuki kawasan Kampung Maghribi, namun tidak berjaya memandangkan laluan utamanya masih ditenggelami banjir dan hanya boleh dimasuki menaiki bot. – MalaysiaGazette