PETALING JAYA – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, selepas representasi kedua-duanya ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Representasi itu dihantar pada 19 November lalu agar pihak pendakwaan menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-duanya.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh menetapkan 10 Januari tahun depan bagi sebutan kes untuk membolehkan pihak-pihak memuktamadkan penyerahan dokumen perbicaraan.
Perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh ditetapkan bermula 3 Februari tahun depan manakala seramai 15 saksi pendakwaan dijadual memberi keterangan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan, AGC menolak representasi yang dikemukakan oleh pasangan itu dan keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada peguam terdahulu yang mewakili mereka.
Pada 26 November lalu, peguam Fahmi Abd. Moin memberitahu pihak media, representasi itu dihantar pada 19 November lalu bagi menyemak semula pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya.
Pada prosiding hari ini, peguam-peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili kedua-dua tertuduh selepas Fahmi menarik diri daripada mewakili mereka.
Sementara itu, Haresh memaklumkan, mereka baru dilantik mewakili pasangan itu dan belum menerima dua dokumen iaitu cakera padat (CD) mengandungi laporan analisis forensik telefon bimbit tertuduh dan laporan forensik bedah siasat mangsa.
Pada prosiding 18 September lalu, pihak pendakwaan memaklumkan sudah menyerahkan dokumen lanjutan iaitu laporan forensik melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian dan laporan dari syarikat telekomunikasi.
Pihak pembelaan turut memohon tarikh perbicaraan pada minggu pertama yang telah ditetapkan pada 20 hingga 24 Januari 2025, dilapangkan kerana pembelaan mempunyai perbicaraan di mahkamah lain.
Hakim kemudian mengekalkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun depan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette