PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan kesalahan yang ringan dan tindakan sewajarnya perlu diambil dengan segera.
Malah menurutnya, siasatan RCI itu turut mendedahkan berlakunya pengkhianatan besar terhadap kedaulatan negara.
“RCI itu mendedahkan kelemahan bahkan dari satu sudut, pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah kita itu, patut kita perjuangkan habis-habisan.
“Tapi nampak, ada setengah jalan yang ini telah didedahkan RCI. Bagi saya bukan perkara yang ringan iaitu apa-apa kesalahan yang terlibat dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap pengkhianatan besar yang berlaku.
“Walau bagaimanapun proses undang-undang harus dihormati,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Mana, Presint 14, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Tindakan berkenaan merupakan antara disyorkan RCI itu dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
RCI itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
RCI turut mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan. – MalaysiaGazette