KUALA LUMPUR – BMI yang juga unit Fitch Solutions, menyemak turun harga purata tahunan minyak mentah Brent pada AS$76 setong bagi 2025 daripada AS$78 setong, sebelum ini.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI berkata, harga minyak dijangka memulakan 2025 pada paras rendah sedikit berbanding jangkaan yang dibuat pada Ogos lepas.
“Tambahan pula unjuran kami adalah berdasarkan andaian Kamala Harris menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) manakala penggal kedua Donald Trump pula memberi maksud bercampur-campur bagi harga minyak.
“Impaknya adalah berkemungkinan besar turun berbanding Harris, sekurang-kurangnya bagi tempoh enam hingga 12 bulan,” katanya.
BMI juga menyifatkan harga Brent secara relatifnya kekal terikat sepanjang November hingga Disember, ditutup antara AS$71.80 setong dan AS$75.5 setong selepas mencatat perubahan besar pada awal tahun ini.
Pasaran pula, katanya, telah memasuki corak pegangan menjelang mesyuarat penting Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport dan sekutu (OPEC+) pada 5 Disember serta pelantikan Trump secara rasmi pada 20 Jan, 2025.
Pada mesyuarat itu, OPEC+ memutuskan untuk melanjutkan pengurangan tong minyak pada masa ini sehingga Mac 2025 berbanding Disember 2024 selain memperlahankan kadar bagi jumlah tong yang dikurangkan untuk kembali ke pasaran.
“Kami menjangkakan lanjutan itu, malah telah dimasukkan dalam unjuran kami. Namun, jadual baharu yang lebih perlahan itu diterjemahkan kepada pengurangan 263,000 tong sehari bagi pertumbuhan bekalan tahunan secara purata pada tahun depan.
“Walaupun ini mengecilkan jumlah lebihan yang dijangkakan, pertumbuhan pengeluaran akan mengatasi pertumbuhan penggunaan yang diunjurkan sekurang-kurangnya 450,000 tong sehari,” kata BMI.
BMI juga mengunjurkan permintaan minyak akan terus disokong dengan pertumbuhan 2025 kekal setanding dengan paras 2024.
Namun, ia tidak menolak risiko kelemahan ketara, termasuk pendekatan Trump berkaitan ekati tarif sebaik sahaja memegang jawatan dan kesannya terhadap aktiviti ekonomi, perdagangan, inflasi dan dolar AS.
“Kami percaya langkah-langkah tarif sebenar akan lebih terhad daripada kenyataan agresifnya yang dicadangkan, memandangkan ini mungkin mewakili kedudukan permulaan untuk rundingan.
“Selain itu, pelaksanaannya mungkin akan dilakukan secara beransur-ansur bagi membantu menguruskan makroekonomi dan ketidaktentuan pasaran,” katanya.
BMI juga percaya langkah-langkah tarif ini boleh menjejaskan harga minyak menerusi asas-asas dan sentimen yang lebih lemah.
China yang tertakluk kepada peningkatan sekatan dagangan secara global, akan menjadi sasaran utama dengan AS dan China menyumbang kira-kira 37 peratus daripada penggunaan minyak di peringkat dunia.
“Beberapa pasaran lain akan turut terjejas seperti Mexico, Kanada, Vietnam, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China dan Itali yang menyumbang sebanyak 15 peratus.
“Sebarang impak buruk terhadap aktiviti ekonomi dan aliran perdagangan akan menjejaskan permintaan dan walaupun penggunaan tidak terjejas, sebarang pengumuman tarif boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap minyak,” katanya.
BMI berkata, tarif lebih tinggi di AS yang ditambah dengan peningkatan pengurangan cukai domestik, akan mendorong kepada peningkatan semula tekanan inflasi.
“Walaupun peningkatan inflasi berkemungkinan memberi insentif terhadap pelaburan dalam Brent sebagai lindung nilai sehingga ke tahap memberi tekanan ke atas margin keuntungan korporat dan belanjawan isi rumah, ini juga boleh mengurangkan permintaan minyak fizikal pada margin,” katanya. – BERNAMA