TUMPAT – Bencana banjir yang melanda daerah ini minggu lalu tidak semuanya meninggalkan derita, tetapi turut membawa rezeki yang hanya muncul setahun sekali.
Itulah situasi yang boleh digambarkan berlaku di daerah ini yang ketika ini menjadi lokasi pemburu ikan patin sungai yang datang dari setiap pelosok negeri ini, sebaik sahaja air bah mulai surut.
Kawasan sungai yang dikenali Gate 2 di sini misalnya, bertukar seolah-olah sebuah tapak pesta apabila ratusan pemancing tidak mahu melepaskan peluang menaikkan ikan patin sungai yang hanya muncul di sungai itu ketika musim tengkujuh.
Seawal pukul 12 tengah hari, pemburu-pemburu ikan patin sungai itu sudah memenuhi Gate 2 yang merupakan pertembungan antara anak sungai dan laut untuk menaikkan spesies ikan itu.
Selain kaki pancing, terdapat penduduk yang turut menjala ikan itu sama ada di tebing sungai atau dari atas bot masing-masing.
Bagi penduduk tempatan, Dahuri Daud, 50-an, pesta memancing ikan patin sungai di sungai Gate 2 itu bukan pemandangan asing kerana berlaku saban tahun setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, ikan-ikan patin sungai itu dipercayai hanyut dari Sungai Golok dekat sini, selepas air dari sungai itu melimpah akibat hujan lebat.
“Benda ni (pesta pancing ikan patin) memang sudah biasa berlaku setiap kali selepas musim tengkujuh atau banjir besar setiap tahun.
“Kawasan ini akan jadi tumpuan bukan hanya dalam kalangan kaki pancing di daerah ini, malah dari daerah-daerah lain sama ada untuk turut memancing atau sekadar bersama-sama merasai kemeriahan suasana selepas banjir di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Semetara itu, seorang lagi penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Awe, 30an, bukanlah kaki pancing tetapi tidak mahu melepaskan peluang menaikkan ikan patin sungai bersama-sama pemancing lain di kawasan tersebut.
“Sebabnya sangat mudah untuk menaikkan ikan patin sungai ini, tidak perlu guna umpan pun, hanya campakkan mata kail ke dalam sungai dan kemudian tarik, insya-Allah akan ada ikan patin yang `sangkut’ sebab terlalu banyak spesies ikan itu dalam sungai ini ketika ini,” katanya.
Keterujaan yang sama turut dikongsi seorang lagi pemburu patin sungai, Fadhli Mat Yassin, 40, yang sejak tiga hari lalu, sudah berkampung di kawasan sungai itu untuk menaikkan ikan patin.
Kataya, setiap hari, dia berjaya menaikkan berpuluh-puluh kilo ikan patin sungai itu yang kemudiannya dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram. – MalaysiaGazette