JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memastikan tindakan segera dan sewajarnya diambil dalam kes seorang murid berusia 10 tahun dipercayai dibelasah, rambut direntap dan diseret di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 2 di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru untuk mendapatkan gambaran penuh insiden tersebut bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil secara menyeluruh.
“Berdasarkan maklumat terkini daripada PPD Johor Bahru, siasatan awal mendapati kesan lebam pada murid bukan berpunca daripada tindakan guru seperti yang tular dalam media sosial.
“Guru yang terlibat memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam sesi soal siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, Aznan menyarankan PPD terbabit dan SK Temenggong Abdul Rahman 2 memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dilakukan secara telus.
Selain itu katanya, PPD tersebut akan membimbing pihak sekolah dalam meningkatkan pengurusan insiden disiplin dengan memastikan semua pihak memahami garis panduan ditetapkan.
Katanya, sebagai langkah pemulihan, satu sesi perjumpaan akan diadakan hari ini melibatkan pihak sekolah, Rumah Amal TBQ, JPN, polis dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membincangkan penyelesaian terbaik serta memperbaiki hubungan antara semua pihak terlibat.
Pada masa sama beliau meminta masyarakat berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dalam laman media sosial kerana perkongsian maklumat tidak sahih akan mencetukan kekeliruan.
Tegasnya, ini termasuk memberi kesan negatif terhadap pihak-pihak yang terlibat sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kami bertekad kes-kes sebegini akan diselesai secara adil, profesional dan sentiasa mengutamakan kebajikan palajar,” tambahnya.
Terdahulu tular foto dan cerita berkenaan murid berkenaan disepak dan ditumbuk serta direntap rambut serta diseret oleh guru sekolahnya dalam kejadian di makmal komputer sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
“Siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaraya bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.- MalaysiaGazette