SEPANG – Dua lelaki tempatan yang menyeludup masuk dadah jenis ketamin bernilai RM1.56 juta menerusi Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), baru-baru ini berjaya ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua operasi berasingan.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dalam operasi pertama pada 1 November lalu, pasukan Kastam menangkap seorang penumpang remaja lelaki, 18 tahun yang baru sahaja tiba dari sebuah negara di Eropah dengan menaiki pesawat antarabangsa.
“Hasil pengimbasan dijalankan terhadap bagasi milik remaja itu telah mengesan imej yang mencurigakan dan mengesyaki ia merupakan dadah.
“Anggota Kastam kemudian menjalankan pemeriksaan rapi ke atas bagasi telah menemukan paket plastik berwarna putih disembunyikan dalam beberapa kotak makanan dan bungkusan minuman pra-campuran dianggarkan seberat 16.91 kilogram.
“Paket plastik itu disyaki ketamin bernilai kira-kira RM845,670,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan ke atas suspek pertama kemudian membawa kepada satu lagi tangkapan di tempat sama ke atas seorang lagi suspek lelaki pada 2 November lalu.
Ppemeriksaan lanjut terhadap suspek kedua berusia 22 tahun itu turut menemui beberapa paket plastik berwarna putih mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pra-campuran.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua dadah yang ditemukan dalam bagasi itu seberat 14.18 kilogram serta dianggarkan nilai pasaran kira-kira RM709,030.
“Hasil soal siasat juga mendapati semua bagasi yang dibawa oleh kedua-dua suspek lelaki berkenaan telah didaftar masuk menggunakan kaedah checked baggage,” katanya.
Siasatan awal mendedahkan kedua-dua suspek yang berasal dari Sarawak dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dan mengikut rekod mereka berlepas dari KLIA bersama dan pulang pada hari berlainan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup atau dengan 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Norlela berkata, operasi itu dijayakan oleh Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit lll JKDM di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1, KLIA. – MalaysiaGazette