PETALING JAYA – Keputusan representasi yang dikemukakan oleh pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf untuk menyemak semula pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dijangka dimaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini pagi ini.
Status representasi sama ada diterima atau ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menentukan perkembangan kes sama ada perbicaraan diteruskan atau terdapat perubahan kepada pertuduhan yang dihadapi kedua-duanya.
Pada prosiding 18 September lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari dalam tempoh tiga minggu berturut-turut iaitu pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.
Keputusan representasi itu akan diumumkan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Pada 26 November lalu, peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili pasangan tersebut berkata, representasi itu dihantar pada 19 November lalu agar pihak pendakwaan menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-duanya.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette