KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Amerika Syarikat (AS) diterajui oleh Presiden Joe Biden telah menghalangnya daripada mendapatkan bukti berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).
Tindakan AS itu didakwa Najib bermotifkan politik kerana permohonan beliau kepada peguam negara itu, Loretta Lynch tidak mendapat respons positif, sebaliknya telah dihalang daripada mendapatkan keterangan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner dan Robert Ng.
Kata Najib, dokumen dan bukti itu adalah penting buat beliau bagi membela diri serta membersihkan namanya daripada terus dipalitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion itu.
Sebelum ini, Leissner telah mengaku bersalah pada 1 Nov. 2018, antara pengakuannya salah termasuklah melakukan penggubahan wang menggunakan dana 1MDB, selain menyogok pelbagai pegawai kanan Malaysia serta Abu Dhabi untuk memintas kawalan perakunan.
Manakala Ng pula dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di AS berikutan kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah menggunakan dana 1MDB.
Hari ini, kata Najib ketika membela diri kandang saksi, beliau telah memfailkan permohonan penemuan dokumen yang digunakan untuk perbicaraan Ng pada tahun 2021 di Mahkamah Selatan New York.
“Agak pelik dan luar biasa sama sekali dengan sikap ditonjolkan oleh Kerajaan AS sebelum terutamanya termasuk bekas peguam negara AS Loretta Lynch ini seolah-olah mahu melindungi pelaku-pelaku ini.
“Kerajaan AS berhujah mendakwa mereka mempunyai kepentingan besar dalam melindungi integriti kes dan pelaku seperti Ng, Liesner dan Jho Low.
“Jelas sekali ini bermotifkan politik. Bukti itu bersifat untuk meringankan tuduhan. Saya cenderung untuk menggunakan istilah Melayu, ‘bukti yang boleh melepaskan seseorang’, semua ini bermotifkan politik terhadap saya,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Kata Najib lagi, dengan adanya perubahan kerajaan selepas pemilihan AS baru-baru ini, beliau berharap akan cuba mendapatkan bukti serta dokumen bagi membela dirinya.
Najib turut mendakwa aduan pelucuthakan sivil oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada tahun 2016 untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$1 bilion dikaitkan dengan 1MDB adalah bermotifkan politik.
Selain itu, Najib juga menuding jari kepada bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa yang sebenarnya didakwa gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dalam menyemak kelulusan 1MDB bagi mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak RM6.17 bilion.
Dana itu untuk membeli saham sebuah syarikat penjana tenaga bebas, dakwa Najib beliau tidak pernah memberikan apa-apa kelulusan yang berlaku sekitar 2012.
Prosiding akan bersambung Isnin depan.
Najib sedang membela dirinya dalam perbicaraan terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette