KUALA LUMPUR – Lima individu yang disyaki mencuri kabel syarikat utiliti, Telekom Malaysia Berhad (TM) ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 dan 30 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berkenaan insiden kecurian kabel TM di Jalan Lang Kuning, Kepong kira-kira jam 9 pagi 29 November lalu.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama.
“Bertindak atas aduan maklumat itu, pada 29 dan 30 November lalu sepasukan polis dari IPD Sentul telah berjaya membuat serbuan dan menahan lima suspek lelaki di sekitar ibu negara dan Selangor.
“Hasil soal siasat dan pemeriksaan ke atas lima suspek berusia antara 19 hingga 52 tahun itu membawa polis kepada rampasan sebuah kereta Proton Wira milik isteri salah seorang suspek dan kereta sewa jenis Honda City serta enam telefon bimbit pelbagai jenama.
“Pasukan serbuan turut berjaya menjumpai semula kabel tembaga milik TM bersaiz 800 pair sepanjang 140 meter, kabel TM bersaiz 200 pair sepanjang 80 meter, satu guni mengandungi kabel tembaga TM seberat 840 kilogram dan beberapa peralatan memotong dan menarik keluar kabel,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan kecurian kabel TM dianggarkan bernilai RM150,000.
Menurut Ahmad Sukarno, siasatan lanjut mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi dengan memerhatikan lokasi sasaran ‘manhole’ semasa pekerja kontraktor TM melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Kemudian suspek akan menyamar sebagai kontraktor penyelenggaraan TM dan meletakkan papan tanda penyelenggaraan sebelum turun ke dalam lubang longkang berair di ‘manhole’ untuk mencuri kabel kira-kira jam 4.30 pagi hingga 6 pagi.
“Suspek akan turun ke dalam lubang longkang berair bawah tanah itu menggunakan tangga dan akan memotong kabel TM sebelum mencari ‘manhole’ kedua untuk memotong kabel sepanjang 50 hingga 100 meter.
“Kabel yang dipotong itu akan ditarik keluar dari lubang bawah tanah itu dengan diikat pada lori (kenderaan curi) sebelum membakar tembaga tersebut dan menjual di sebuah kedai barang lusuh yang telah pun dikenal pasti beroperasi di Gombak dengan kadar anggaran RM32 sekilogram,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata, sindiket itu dipercayai bergiat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar Sentul dan Kepong sejak lima bulan lalu.
Tambah beliau, semakan mendapati kesemua suspek memiliki pelbagai kesalahan jenayah lampau.
Beliau memberitahu, tangkapan tersebut membantu polis menyelesaikan tiga kes kecurian kabel di Sentul dan Kepong.
Jelasnya, empat suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengalihkan harta dengan curang tanpa kerelaan pemilik dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menghapuskan harta curi pada 3 Disember lalu manakala seorang lagi suspek dibebaskan.
Sementara itu, menurut Ahmad Sukarno, polis sedang memburu seorang lagi ahli sindiket itu yang dikenali sebagai Castelo berusia 32 tahun. – MalaysiaGazette