KUALA LANGAT – Polis telah menahan dua lelaki warga asing selepas menjumpai mayat lelaki dalam bonet sebuah kereta di kawasan Telok Panglima Garang pada 3 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, mayat lelaki warga asing itu ditemui selepas anggota polis Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang menjalankan rondaan menahan sebuah kereta kira-kira jam 5.08 pagi, Selasa lalu.
Ketika itu kereta dipandu lelaki warg asing bersama rakannya.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga asing di dalam bonet kereta yang ditahan itu.
“Terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian tubuh badan simati yang dianggarkan berusia 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang mengesahkan kematian lelaki warga asing tersebut.
“Rentetan daripada penemuan mayat lelaki itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas pemandu kereta dan juga rakannya untuk membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek adalah berusia lingkungan antara 17 dan 22 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dan juga kedua-dua suspek bekerja sebagai peladang dan polis percaya pembunuhan itu berlaku disebabkan isu dalaman sesama mereka,” ujarnya.
Mohd Akmalrizal menambah, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Disember ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan..
“Siasatan masih diteruskan oleh polis untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan penglibatan kedua-dua suspek dalam kes bunuh yang sedang disiasat polis.
“Orang ramai yag mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.-MalaysiaGazette