JOHOR BAHRU – Pusat Jagaan Pertubuhan Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ) Amal menarik laporan polis terhadap seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 2, di sini, yang didakwa mengasari penghuninya hingga mengakibatkan lebam.
Pengasasnya, Herman Sudil berkata, pihaknya menarik balik laporan berkenaan atas dasar ihsan dan komitmen penambahbaikan.
“TBQ Amal adalah rumah perlindungan kanak- kanak yang diiktiraf dengan sijil ISO 9001:2015.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pusat jagaan itu, pihak kami sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak di bawah jagaan terutama dalam menangani isu yang membabitkan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Mengikut SOP, setiap aduan berkaitan kecederaan fizikal berpunca kekerasan mesti dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sebelum membuat laporan pihak pengurusan akan menyemak aduan secara terperinci dengan menyoal penghuni terbabit yang mengadu bersama-sama saksi kejadian untuk memastikan kebenaran sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Semalam suatu pertemuan diadakan di balai polis antara pihak kami, guru besar, guru yang terbabit serta pihak pengurusan sekolah.
“Selepas berbincang secara menyeluruh dan mempertimbangkan kebaikan semua pihak, kami bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat,” katanya.
Herman berkata, pihak TBQ Amal memohon maaf atas kesalahfahaman yang berlaku.
“Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatinan dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terjaga,” katanya.
Beliau berkata, semua permasalahan selesai dengan baik dan damai.
“Kami berharap tiada spekulasi yang negatif kepada mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu tular gambar dan kisah murid berkenaan ditampar dan ditumbuk serta direntap rambut dan diseret oleh guru sekolahnya dalam kejadian di makmal komputer sekolah itu hingga mengakibatkan pipinya lebam.- MalaysiaGazette