BATU PAHAT – Seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng di sini meninggal dunia selepas koma sehari sebelum ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar perempuan berkenaan, Sim Hui Yi yang berusia 17 tahun sebelum itu dipercayai diserang strok pada Ahad lalu.
Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pelajar terbabit mengalami sakit kepala yang teruk sehari sebelum menduduki ujian lisan SPM.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, keluarganya segera membawanya ke Klinik Kesihatan Yong Peng selepas rebah akibat sakit kepala.
“Pelajar tersebut kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini dan dia koma sebelum meninggal dunia pada pukul 10 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi.
Tian Soon berkata, siasatan awal kematian remaja tersebut mengalami cerebrovascular accident (CVA) yang menyebabkan strok.
“Menurut keluarganya, Hui Yi merupakan pelajar yang aktif dan tidak memiliki sebarang komplikasi dalam perubatan,” ujarnya.
Sementara itu, pihak pengurusan SMK Yong Peng merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hui Yi dan menyifatkan remaja tersebut sebagai sebutir permata.
“Kami seluruh warga SMK Yong Peng ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sim Hui Yi atas pemergian beliau, permata yang amat dihargai.
“Kehilangannya merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga, tetapi juga oleh kami di sekolah dan rakan-rakan yang menyayanginya.
“Terima kasih atas kenangan indah yang telah tercipta bersama. Senyuman, usaha dan semangatmu akan sentiasa dikenang. Kami pasti akan merinduimu.
“Semoga keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menempuh dugaan ini,” menurut status yang dimuat naik dalam Facebook sekolah berkenaan.- MalaysiaGazette