KULAI – Polis menahan seorang penjaga rumah anak yatim di Taman Mas, di sini, pada 29 November lalu kerana dipercayai merogol seorang penghuninya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di rumah anak yatim tersebut.
Beliau memberitahu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan tangkapan tersebut pukul 3 pagi, pada 30 November lalu.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Kulai untuk siasatan lanjut.
“Sebelum itu pihak polis menerima laporan mengenai kejadian rogol seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berusia 17 tahun pada pukul 9.48 malam, 29 November lalu.
“Kejadian berlaku di rumah anak yatim tersebut. Mangsa telah dirogol penjaga rumah anak yatim itu pada tahun 2020 hingga 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, semasa kejadian mangsa berusia 13 hingga 15 tahun.
Beliau menambah, permohonan tahanan reman ke atas suspek telah diluluskan Mahkamah Majistret, di sini, bermula 30 November hingga 10 Disember ini.
Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette