LANGKAWI – Polis berjaya mengagalkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM3.5 juta dalam satu operasi khas di kedudukan enam batu nautika dari Pulau Lima di sini, pada Isnin lalu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi jam 11 malam itu dilakukan hasil risikan berkaitan penyeludupan masuk dadah di perairan Pulau Pinang ke Langkawi.
“Ketika serbuan dua suspek yang berada atas bot gentian kaca itu bertindak terjun ke dalam laut dan mereka masih gagal dikesan sehingga kini.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot gentian kaca membawa kepada rampasan 102 bungkusan teh Cina yang mengandungi ketulan kristal jernih disyaki syabu seberat 107.581 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM3,550,173.
“Turut dirampas bot gentian kaca bersama enjin dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM3.7 juta,” katanya pada pemberita hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette