JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang remaja hari ini kerana dipercayai terlibat dengan kes pembuangan bayi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, wanita warga tempatan berusia 19 tahun itu ditahan di kawasan Tampoi.
“Selain menahan wanita berkenaan, kita juga sedang giat mengesan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Bayi lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan stabil dan sedang menerima pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette