JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukkan RM99.8 Juta bagi pemulihan Sungai Skudai bermula tahun depan.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, kerja-kerja pemulihan sungai itu penting bagi mengalirkan air hujan dari kawasan pembangunan padat di bandar raya ini.
Selain itu katanya, usaha memulihkannya perlu dilakukan kerana menjadi sumber pendapatan dan laluan kepada nelayan pantai termasuk Orang Asli.
“Sungai Skudai melangkaui Parlimen Kulai, Iskandar Puteri dan Pulai sepanjang 43 kilometer bermula dengan anak sungai di Kampung Sedenak dan berakhir di hadapan Kampung Bakar Batu, Perling.
“Pembangunan di Johor Baharu telah memberi kesan kepada kelestarian Sungai Skudai. Pergerakan air sungai menjadi perlahan telah menyebabkan mendapan tanah di tebing sungai.
“Mendapan tanah menyebabkan tumbuh pokok kayu liar di tepi sungai dan akhirnya sungai menjadi sempit tidak mampu menampung air hujan, menyebabkan banjir kilat dalam Parlimen Pulai di Taman Tampoi Indah, Kampung Seri Serdang, Kampung Pasir, Kampung Pengkalan Rinting, Kampung Seri Jaya, Kampung Skudai Kiri dan Kampung Tuah Jaya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, banjir kilat juga berlaku di Parlimen Kulai dalam kawasan Kampung Separa, Kampung Jaya Sepakat dan Kampung Pertanian dan Banjir kilat di Parlimen Iskandar Puteri adalah di Kampung Laut, Kampung Syahbandar, Kampung Poh Chee Lin dan Batu 12, Skudai.
Jelasnya, mendapan tanah di Sungai Skudai juga telah menyebabkan jeti Polis Marin Wilayah Selatan di Tampoi tidak dapat berfungsi serta pelantar di hadapan jeti ditumbuhi pokok kayu.
Dalam pada itu katanya, terdapat juga laporan bot peronda polis tidak dapat berlabuh di jeti dan terpaksa menumpang di jeti nelayan.
Polis Marin katanya, menghadapi kesukaran menggunakan bot peronda besar pada masa air surut di sebabkan kecetekkan Sungai Skudai dan aset kerajaan gagal digerakkan untuk menjaga keselamatan pantai negara.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Madani atas peruntukan itu yang prihatin terhadap masalah dihadapi penduduk khususnya di bandaraya ini.- MalaysiaGazette