Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang termasuk pihak pembangkang akan menerima peruntukan tambahan pada tahun 2025.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, nilai dan kaedah pengagihannya akan diputuskan setelah perbincangan lanjut kelak.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Kewangan Negeri. Pada dasarnya, kerajaan negeri ada peruntukan lebih bagi penambahan kepada semua Exco, ahli-ahli yang berhormat dan pembangkang.

“Cuma nilainya belum diputuskan dan nilai tidak akan sama (bagi pembangkang), ia akan berbeza. Sebelum ni memang telah diberikan peruntukan, tapi ini tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung perkara itu yang dibangkitkan ketika ucapan penangguhan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Ketika ucapan penangguhan itu, Tuan Ibrahim mencelah dan memuji keputusan kerajaan negeri memohon penambahan siling peruntukan berdasarkan Seksyen 9 Akta 406 sebanyak RM30 juta bagi pembangunan dan bekalan air di negeri ini.

“Saya sangat menyokong supaya siling itu dapat ditingkatkan dan pembangunan negeri dapat diselaraskan dengan hasil yang diperoleh kerajaan negeri.

“Ingatkan Menteri Besar nak isytihar peruntukan kepada pembangkang juga,”katanya.

Ulasan ADUN Cheka itu kemudian disambut Wan Rosdy dengan pemberitahuan mengenai keputusan kerajaan negeri mengenai peruntukan terbabit.

“Kita kongsi bersama. Kita kembalikan kepada rakyat dan wakil rakyat,” jawab ADUN Jelai itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here