KUANTAN – Di sebalik musibah yang menimpanya, bekas peragawati, Zahnita Wilson yakin ada hikmah disebaliknya apabila tempahan pai yang dihasilkan oleh beliau semakin laris.
Bahkan beliau menyifatkan kemelut rumah tangga yang masih belum menemui penyelesaian itu dianggap satu cabaran untuk dia meneruskan kelangsung hidup bersama empat orang anaknya.
Beliau kini bergantung sepenuhnya kepada jualan pai kepada penduduk setempat di sekitar Kuantan menerusi jualan dalam talian.
Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, yang ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Kuantan menzahirkan rasa syukur apabila menerima tempahan pai tidak putus-putus dan bertekad memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan makanan yang diceburinya.
“Ya Allah, alhamdulillah rezeki masuk perniagaan, Allah tahu doa hamba Dia, dapat banyak sangat tempahan.
“Tiada masa bersedih, saya kena kuat semangat, kena kembali bekerja, saya nak siapkan semua tempahan,” katanya yang tidak dapat menahan air mata.
Beliau kelihatan tenang selepas menerima keputusan hak hadanah interim bagi keempat-empat anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hari ini.
Zanhita berdoa dikurniakan kesihatan dan emosi yang stabil agar menguruskan kehidupannya dan mencari rezeki bersama anak-anak dan ibunya.
Ibu kepada empat cahaya mata ini aktif di platform sosial media dalam mempromosi makanan itu, amat menghargai sokongan peminat dan masyarakat yang mengikuti perkembangannya.
Semalam, suami kepada pelakon dan bekas model itu Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.
Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Zahnita dapat hak hadanah interim 4 anak
Abd Zachery dituduh menggunakan dadah, cederakan Zahnita