Badan mangsa penuh dengan luka akibat dibelasah oleh 11 anggota kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.

SEPANG – Pemuda 20 tahun yang diperdaya dan diculik ke Kemboja oleh sindiket pemerdagangan manusia aktif di Malaysia nekad terjun bangunan selepas tidak tahan didera oleh kumpulan ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa parah selepas dibelasah oleh 11 orang yang merupakan anggota kumpulan sindiket ini.

Mangsa yang berasal dari Johor bekerja di sebuah kedai runcit diperdaya kumpulan itu kononnya telah mendapat pekerjaan di Singapura dengan gaji lumayan oleh salah seorang kenalannya.

Bagaimanapun mangsa dibawa masuk ke kawasan Sihanoukville dekat Kemboja yang terkenal dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Hishamuddin Hashim

“Apabila sindiket ini mendapati mangsa tidak pandai menggunakan komputer, dia telah dikurung dan dipukul 11 orang lelaki sehingga ada satu masa luka jahitan apendiks di abdomennya pecah dan seluruh tubuh badannya berdarah.

“Akibat tidak tahan didera hampir setiap, mangsa nekad lompat bangunan sebelum berjaya meloloskan diri lalu menghubungi keluarga.

“Kebetulan aktivis kami, Azirul Syafiq Sazali  yang berada di sana  segera hantar kereta ke lokasi mangsa meloloskan diri dan membawanya ke ibu kota Phnom Penh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mangsa yang berjaya diselamatkan MHO telah selamat tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kata Hishamuddin, pihaknya juga terkejut apabila dimaklumkan keluarga mangsa ini telah menerima pelbagai ugutan supaya menarik kembali laporan polis yang dibuat berhubung kumpulan sindiket berkenaan.

“Samseng diupah mengepung kediaman keluarga mangsa kerana bimbang rahsia jenayah sindiket tersebut terbongkar. Jadi kita tahu kumpulan sindiket di Kemboja itu mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan di Malaysia.

Hishamuddin meminta pihak berkuasa negara ini segera bertindak dan jangan sesekali membiarkan sindiket pemerdagangan manusia yang aktif  di sini terus melakukan penganiayaan.

Ia kerana, rata-rata mangsa pemerdagangan manusia ini adalah golongan miskin dari pedalaman yang mudah termakan dengan iklan-iklan pekerjaan di luar negara dengan gaji berlipat ganda.

Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku,  MHO hampir setiap minggu mendedahkan pelbagai modus operandi sindiket pemerdagangan manusia yang memerangkap rakyat kita.

“Dalam kes ini, mangsa telah dimaklumkan untuk hadir temuduga di Singapura sebelum diculik masuk ke Kemboja. Bayangkanlah, dengan begitu mudah kepercayaan mangsa-mangsa ini dipergunakan.

“MHO juga ingin mengucapkan berterima kasih kepada rakan strategik kita, Global Anti-Scam Organization (GASO) dalam misi menyelamatkan mangsa sebelum pulang ke tanah air,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here