Polis berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal selepas menahan tiga lelaki yang melakukan perbuatan itu untuk mencari wang

JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga lelaki kerana mencuri motosikal milik seorang lelaki warganegara Singapura di kawasan parkir Hotel Amari, Jalan Trus di bandar raya ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek diberkas di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini dan Muar.

Beliau memberitahu, tangkapan dilakukan mulai pukul 12 tengah malam tadi sehingga 1.32 pagi ini.

“Semua ditahan kerana dipercayai terlibat dalam insiden curi motosikal jenis Yamaha RXZ milik seorang warga Singapura di lot parkir motosikal hotel tersebut.

“Mereka ditahan menerusi Op Lejang yang dijalankan sepasukan anggota Cawangan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Turut serta anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, polis turut merampas tiga motosikal jenis Yamaha 135 LC, Yamaha 125ZR dan Yamaha RXZ termasuk dua rangkai  kunci motosikal serta satu kad pengenalan milik suspek.

Semakan rekod jenayah terhadap ketiga-tiga suspek katanya, suspek pertama mempunyai 11 rekod lampau kes jenayah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang sama positif dadah jenis methamphetamine.

Ketiga-tiga suspek telah dibenarkan untuk ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin ini bagi siasatan lanjut, katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal bagi tujuan mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian.

Raub berkata, dengan tertangkapnya tiga suspek berkenaan pihak polis berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian hotline 07-2182323.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here