Keadaan dapur yang rosak dan dipenuhi lumpur akibat dilanda banjir ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Siram, Pasir Mas. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

PASIR MAS – Tiada yang lebih menghibakan bagi pasangan warga emas di Kampung Siram dekat sini, melainkan melihat harta benda di dalam rumah mereka musnah sepenuhnya akibat ditenggelami banjir.

Ahmad Hilmi Mohd Nor, 63, bersama isterinya, Che Mo Mat Nor, 59, pulang ke rumah mereka semalam selepas hampir seminggu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air sehingga hampir mencecah paras bumbung.

Menurut Che Mo, dia tidak dapat menahan rasa sedih ketika melangkah masuk ke rumahnya semalam apabila mendapati semua perkakasan elektrik, perabot dan pakaian mereka sekeluarga musnah.

Che Mo Mat Nor berdiri bersebelahan pakaian yang rosak akibat dilanda banjir awal minggu lalu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Siram, Pasir Mas. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

“Jika diikutkan kami seperti tinggal sehelai sepinggang, semua barang di dalam rumah seperti peti, televisyen, perabot rosak.

“Buku-buku sekolah anak dan cucu-cucu saya serta pakaian juga banyak yang tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Pasangan warga emas itu merupakan antara penduduk di kampung tersebut yang sudah pulang dan mengemas rumah masing-masing selepas terpaksa berpindah akibat bencana banjir kira-kira seminggu lalu.

Pasir Mas antara daerah yang terjejas teruk dengan banjir gelombang pertama dengan hampir keseluruhan kampung di situ ditenggelami air dan ada yang masih ditempatkan di PPS sehingga kini.

Kesan paras air banjir yang mencecah paras televisyen ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Siram, Pasir Mas. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

Meskipun bakal berdepan gelombang ketiga hujan lebat yang diramal esok berpotensi menyebabkan banjir sekali lagi, namun sebahagian besar daripada mereka tiada pilihan melainkan terpaksa pulang untuk melihat keadaan rumah masing-masing selepas banjir mulai surut sejak kelmarin.

Sementara itu, Che Mo berkata, dia bernasib baik kerana anak serta menantunya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dapat pulang dan membantu mereka mengemas rumah.

“Jika diikutkan kudrat saya dan suami memang tak mampu sebab terlalu banyak kerosakan berlaku pada rumah kami akibat bencana ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Mariam Abdul Rahman, 64, turut mula mengemas hari ini meskipun rumahnya masih ditenggelami banjir separas paha.

Mariam Abdul Rahman bercakap ketika ditemubual mengenai banjir yang melanda rumahnya awal minggu lalu di Kampung Siram, Pasir Mas. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

Katanya, dia juga gagal menyelamatkan barangan elektrik yang berada di tingkat bawah rumahnya kerana tidak menyangka banjir kali ini bolen mencecah sehingga ke paras dua rumah dua tingkatnya.

“Saya bernasib baik sebab semalam ada sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu saya mengemas rumah.

“Sekarang selepas banjir mula surut dan cuaca pun kembali panas terik, saya mula mencuci dan menjemur perkakasan rumah dengan harapan dapat menyelamatkan sebahagian daripadanya,” katanya.

Penduduk mula mengemas dan mencuci rumah mereka selepas dilanda banjir awal minggu lalu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Siram, Pasir Mas. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

Dalam pada itu, tambah Mariam, dia seperti kebanyakan mangsa banjir di negeri ini juga berharap mana-mana pihak khususnya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat menghulurkan sumbangan segera untuk meringankan beban ditanggung mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here