PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Surau Kampung Belah Dua di sini, yang pernah dirasmikan beliau ketika menjadi Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 30 November 1985.
Kunjungan penuh nostalgia itu turut membawa memori manis buat penduduk setempat yang pernah melihat pemimpin itu membantu meningkatkan kemudahan surau lebih 39 tahun lalu.
Anwar turut mengimbau kenangan sewaktu beliau bersolat di surau itu pada tahun 1983 sebelum perasmian rasmi dua tahun kemudian.
Terdahulu, kehadiran Anwar sekitar jam 10.40 pagi disambut mesra oleh ahli jawatankuasa surau.
Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa surau, Fadzli Md Kassim turut mengambil kesempatan menyerahkan dokumen permohonan pembinaan surau baharu kepada Anwar.
Menurut Fadzli, surau dua tingkat itu kini semakin usang dan perlu dibaik pulih untuk keselesaan jemaah khsususnya bagi mereka yang telah berusia.
“Ramai jemaah yang sudah berusia tidak mampu bersolat di tingkat atas faktor fizikal selain tingkat bawah sebelum ini dijadikan tadika.
“Justeru kami berharap ada bantuan untuk surau ini sama ada melalui peruntukan pembinaan baharu atau baik pulih,” katanya. – MalaysiaGazette