KUALA LUMPUR – Pahang dan Johor diramal terjejas teruk ekoran gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu yang dijangka bermula esok.
Dengan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesiapsiagaan melalui pengagihan aset dan pegawai sudah mula diatur dan digerakkan ke kedua-dua negeri berkenaan.
“Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan gelombang kedua mulai esok dan ini akan berterusan hingga 14 Disember ini.
“Kita harap tidak terjadi sebagaimana gelombang pertama, namun mungkin Pahang dan Johor mengalami banjir yang lebih teruk. Selain itu, hujung bulan ini hingga Mac gelombang banjir di kawasan sana (Sabah dan Sarawak).
“Namun kesiapsiagaan membabitkan aset, anggota, pegawai dan peralatan mula digerakkan,” katanya selepas pelepasan sukarelawan skuad misi bantuan banjir, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut diharap dapat melakukan penyelarasan terhadap usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.
Jelasnya lagi, sehingga kini lebih 222,000 mangsa banjir di seluruh negara berjaya disantuni dan dibantu dalam mengurangkan beban mereka berdepan bencana alam itu.
Katanya, manakala jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah kurang daripada 10,000 kini.
“Selain itu, kerjasama NGO juga amat luar biasa yang membantu dalam pembersihan pasca banjir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette