KUALA LUMPUR- Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar menzahirkan kepercayaan kepada sistem keadilan di negara ini dan berharap dapat membersihkan nama mereka selepas dituduh melakukan pecah amanah, enam tahun lalu.
Dalam hantaran di Instagram hari ini, pasangan suami isteri itu berkata, mereka akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses perbicaraan berlangsung.
“Kami terpaksa mengambil masa seketika untuk memproses apa yang berlaku dan bagaimana progres situasi ini.
“Susulan siasatan selama sebulan, kami dimaklumkan pada Khamis lalu bahawa pertuduhan ke atas kami adalah berhubung satu transaksi pada 2018.
“Walaupun tidak boleh membincangkan kes ini namun kami akan terus memberi kerjasama penuh sepanjang proses ini,” katanya.
Tambah pasangan itu lagi, di dalam tempoh ini mereka berharap boleh menjalani kehidupan normal seperti sebelumnya demi orang yang tersayang.
Khamis lalu, Vivy dan Fadza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia di mana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet) kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette